Paya Rumput,27 Januari : Kerjasama dan penglibatan antara guru dan ibubapa amat penting dalam memastikan kecemerlangan serta fokus pelajar berada tepat pada landasannya. Justeru, hari terbuka yang diadakan saban tahun merupakan peluang terbesar untuk merapatkan hubungan para guru dan ibubapa. Pada hari Khamis yang permai kali ini, para pelajar darjah 2, 3,4,5 dan 6 bersama ibubapa mahupun penjaga masing-masing telah terlibat dalam hari terbuka.
Seawal jam 8 pagi, kenderaan ibubapa mula membanjiri perkarangan luar sekolah. Sudah menjadi kelaziman, riak ceria dan bangga jelas terpancar pada wajah para pelajar yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang sebaliknya bagi pelajar yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan akhir tahun 2010 diselubungi kesuraman dan perasaan berat hati untuk berjumpa para guru.
Para guru menjalankan tanggungjawab dengan efisien dan secara ikhlas memberikan dorongan, galakan serta teguran membina kepada para pelajar bagi menaikkan motivasi mereka sementelah masing-masing bakal menduduki peperiksaan nanti. Ibubapa juga dilihat profesional dan terbuka dalam setiap perbincangan kerana mereka sedar dan percaya segala laporan guru berlandaskan fakta dan atas satu matlamat iaitu memperbaiki atau setidak-tidaknya mempertahankan tahap akademik dan kualiti anak masing-masing.
Peratusan ibubapa yang hadir juga meningkat dan ini merupakan petanda baik bagi keseluruhan warga SKPR. Pihak pentadbiran juga mengambil langkah bijak dengan memberi peringatan serta menahan rekod keputusan peperiksaan para pelajar yang tidak hadir bersama ibubapa.
Program yang antara lain bermatlamat untuk memaklumkan kekuatan dan kelemahan pelajar kepada ibu bapa serta bersama-sama bertindak progresif untuk memajukan potensi diri pelajar bagi mencapai tahap cemerlang serta menyediakan diri pelajar yang berpotensi untuk lulus cemerlang ke arah persediaan lebih kompetitif ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Pelbagai program kerjasama PIBG sedang giat dirancang bagi memastikan mutu pelajar yang lahir dari SKPR tidak akan dipandang sebelah mata oleh masyarakat setempat khasnya dan masyarakat global amnya.
0 comments:
Post a Comment